Adalah normal dalam kalangan pekerja dan orang bawahan ada seorang dua yang produktiviti rendah dan ada masalah. Sudah berkali-kali ditegur dan nasihat sudah berkali-kali diberikan namun hasilnya dia berubah sekejap sahaja, kemudian dia balik kepada sikapnya yang asal.
Salah satu sifat semula jadi manusia adalah mereka suka didorong. Mereka suka dipuji. Apabila mereka dipuji, automatik semangat mereka naik, mereka berasa dirinya sedang didorong. Mereka berasa diri mereka diangkat.
Apabila dinasihati, mereka tidak seronok, tidak gembira. Dada mereka terasa berat.
Mereka berasa diri mereka direndahkan. Hal itu disebabkan oleh sifat nasihat itu sendiri.
Nasihat diberikan apabila mereka dianggap melakukan kesilapan dan kebodohan, ataupun disebabkan pada diri mereka ada sifat-sifat kelemahan. Inti pati kata-kata nasihat adalah kritikan terhadap orang yang dinasihati.
Apabila majikan dan ketua mahu supaya pekerja ataupun orang bawahan menaikkan keberhasilan mereka, berikan dorongan, bukan beri nasihat:
1. Nasihat tidak membuat si pekerja yang dinasihati itu senyum riang dan naik semangatnya hendak bekerja lebih bersungguh-sungguh.
2. Nasihat melemahkan semangat kerjanya. Sebelum dinasihati semangat kerjanya okay, selepas dinasihati semangat kerjanya layu.
3. Kerap memberi kata-kata nasihat tidak membuatkan pekerja berasa seronok hendak datang kerja awal dan balik kerja lambat semata-mata kerana hendak menyiapkan kerja-kerja mereka.
4. Nasihat tidak membuat membuat mereka makin seronok membuat kerja-kerjanya dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
5. Kata-kata nasihat adalah ibarat cuka, manakala kata-kata dorongan adalah ibarat gula. Banyak ketua sangka dua-dua itu sama dan serupa, jadi apabila mereka hendak mendorong mereka pun memberi nasihat.
Bagi menaikkan semangat pekerja dan orang-orang bawahan caranya adalah dengan memberi dorongan, pengiktirafan, dan ganjaran. Gembirakan hati mereka.
Pekerja yang bekerja dengan hati gembira menghasilkan produktiviti 60% lebih tinggi dibandingkan pekerja yang perasaannya biasa-biasa yakni gembira pun tidak, tidak gembira pun tidak. Ibaratnya pekerja yang emosinya biasa-biasa menghasilkan 10 unit manakala pekerja yang gembira menghasilkan 16 unit. Itulah sebabnya majikan dan ketua-ketua perlukan skill memuji dengan cara yang betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan