Bila difikirkan semula kita jadi pening apakah cara yang terbaik untuk menegur suatu kesilapan yang berlaku di depan mata kita?
Atau juga di kalangan orang bawahan kita, bagaimana pula kita hendak menegur supaya mereka itu mahu merubah tingkah laku dalam masa yang sama mereka tidak ambil hati dengan kita sebagai ketua yang menegurnya.
Ada tiga prinsip yang boleh dipraktikkan dalam pada mana kita hendak menegur orang lain lebih-lebih lagi jika mereka itu orang bawahan kita.
Pertama ; Sentiasa ingat untuk jaga maruah dan air muka orang yang hendak ditegur itu.
Bahkan harus diingat menjaga air muka dan maruah mereka adalah lebih utama berbanding menegur kesilapan dan kesalahan mereka.
Jangan kerana teguran kita orang itu dimalukan dan akhirnya dia tidak mahu buat apa-apa kerja lagi.
Kedua ; Sekiranya kesalahan itu dilakukan di hadapan orang lain, ketap bibir tutup mulut dan jangan tegur pada ketika itu.
Cakap tentang kesalahan itu kepada orang yang hendak ditegur pada masa lain. Ketika tidak ada orang lain melihat atau mendengarnya.
Ketiga ; Hanya boleh tegur secara terus ketika kesalahan itu dilakukan apabila tiada orang lain ketika itu.
Teguran itu pula hanya merujuk kepada kesalahan yang dilakukan pada ketika itu.
Jangan pula diungkit kesalahan lain ataupun kesalahan yang sama yang dilakukan pada masa lain untuk ditegur pada masa yang sama.
Jika ketua banyak mengungkit kita akan dilihat seperti seorang yang suka mencari kesalahan dan berdendam terhadap kesalahan tersebut.
Perbuatan seperti itu akan menjatuhkan kredibiliti, merendahkan karisma dan menyebabkan hilangnya daya pengaruh kita sebagai ketua terhadap anak-anak buah dan orang bawahan.